PUTRAJAYA - Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK), Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata secara asasnya tiada larangan terhadap perbuatan melakukan zikir sambil 'menggoyangkan badan'.
Menurutnya, untuk mengatakan perbuatan ini haram atas dasar Rasulullah tidak pernah melakukannya, ia adalah tidak tepat kerana pada asasnya perkara harus kekal harus melainkan ia bertentangan dengan prinsip dan semangat al-Quran dan Sunnah.
"Sesuatu yang tidak dibuat oleh Nabi tidak semestinya haram berdasarkan kaedah tarku al-shay' la yaqtadi tahrimuhu iaitu sekiranya (Rasulullah) meninggalkan sesuatu tidak semestinya bererti membawa hukum pengharamannya'. Juga berdasarkan kaedah fiqh al-umur bi maqasidiha (setiap perkara adalah berdasarkan matlamatnya).
"Walaubagaimanapun perbuatan zikir yang dilakukan haruslah tidak keterlaluan sehingga menghilangkan matlamat zikir itu sendiri iaitu untuk mengingati ALLAH. Ia juga hendaklah tidak melibatkan perkara-perkara yang haram dan maksiat seperti percampuran bebas lelaki dan wanita, pembukaan aurat, iringan nyanyian dan muzik yang keterlaluan sehingga merosakkan amalan zikir tersebut dan lari dari batas syariah Islam," katanya ketika sidang media khas Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan di Ibu Pejabat Jakim Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, perkara penting yang harus diambil perhatian dalam isu ini ialah perkara yang dilakukan tidak seharusnya melampaui batas.
"Apa sahaja dalam agama yang bersifat melampaui batas adalah ditolak. Oleh yang demikian kita melihat ramai ulama yang membezakan pergerakan dalam zikir antara yang bersifat fitrah dengan sesuatu yang dibuat-buat atau secara berlebihan.
"Sesuatu yang dibuat-buat atau berlebih-lebihan adalah tertolak kerana ia bertentangan dengan semangat zikir iaitu untuk mengingati ALLAH," katanya.
Dalam isu berkaitan, Abd Shukor berkata, JFK tidak pernah menarik balik pengharaman ke atas tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah pimpinan Syeikh Nazim yang diputuskan pada 3 April 2000.
Ujarnya, jawatankuasa tersebut mendapati tariqat itu bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Abd Shukor juga berkata, jawatankuasa itu tidak menemui fakta sahih untuk mengaitkan kumpulan Habib, yang terkenal dengan program qasidah dan zikir dengan tariqat itu walaupun tokoh qasidah terkenal dari Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir Assegaf yang terkenal dengan lagu Ya Hanana, dikatakan pernah bergambar bersama Syeikh Nazim, kata Abd Shukor.
"Sejak akhir-akhir ini telah dikalutkan dengan isu tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah Syeikh Nazim Al-Haqqani dalam pelbagai media sosial dan cuba dikaitkan dengan kumpulan Habib," kata beliau.- SUMBER
No comments:
Post a Comment