MEMBACA kenyataan dan reaksi beberapa pemimpin parti PAS terhadap tuduhan ‘pengkhianat’ ke atas Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kita tidak dapat mengelak daripada berkata: “Sungguh memalukan!”
Seolah-olah keceluparan mulut Lim Guan Eng itu tidak perlu diberi perhatian serius, kerana nada dan gaya reaksi balas daripada beberapa pemimpin PAS tersebut lebih bersifat ‘akomodatif’, ‘berlapang dada’ dan ‘memaafkan’. Tidak ada rasa marah atau terpukul terhadap kebiadaban Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Suatu yang jelas kelihatan adalah tidak ada seorang pun pemimpin MCA, MIC atau Gerakan yang mengecam atau mengkritik Guan Eng. Ini tidak menghairankan kerana terdapat ‘kesepakatan tidak bertulis’ di kalangan mereka iaitu, untuk bersatu hati dalam menolak dan menentang sebarang usaha ke arah perpaduan di kalangan umat Islam mahupun perlaksanaan syariah Islam.
Tuduhan ‘pengkhianat’ terhadap Ustaz Abdul Hadi bukanlah pendapat peribadi Guan Eng. Ia merupakan sikap dan pendirian parti. Ini bermakna setiap peringkat pimpinan dan ahli berdiri teguh di belakang pimpinan tertinggi parti.
Karakter DAP dalam hal ini tidak pernah berubah. Dan para pemimpinnya tidak pernah beralas kata atau berlapik kalimat ketika menyuarakan sikap dan pendirian mereka dalam banyak hal yang menyentuh kepentingan umat Islam dan Islam di Malaysia.
Sebelum kita lupa, mulut yang melahirkan impian untuk ‘mencontohi’ Khalifah Umar Abdul Aziz ketika mula menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang ini jugalah yang dengan lantang menuntut supaya penganut Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah di dalam Bible Melayu.
Mulut berbisa ini jugalah yang dengan sombong dan angkuh menuduh Ustaz Abdul Hadi sebagai seorang pengkhianat!
Di pihak parti PAS, kenyataan-kenyataan yang keluar daripada mulut para pemimpinnya memberi isyarat yang berbeza-beza kerana tidak kelihatan satu sikap atau pendirian yang jelas atau padu dalam menghadapi ancaman dan angkara dari Pulau Mutiara itu.
Belum fahamkah mereka hakikat yang tersembunyi di dalam hati orang kafir lebih jahat dan dahsyat daripada apa yang mereka zahirkan?
Di celah-celah kemelut dan kegawatan ini, UMNO boleh memainkan peranan untuk menolak sebarang kepentingan dan ego turun temurun dengan menyebelahi parti PAS dalam isu ini. Inilah masanya untuk mempamerkan keikhlasan dan kejujuran serta semangat setiakawan terhadap saudara seakidah.
Ini juga satu peluang keemasan untuk UMNO merebut kembali keyakinan masyarakat Islam dengan syarat mereka juga perlu melalui proses transformasi akhlak dan pemilihan pemimpin yang ‘berwibawa’.
Bagaimanapun, realiti yang telah berakar umbi di dalam parti Melayu ini kelihatan sukar untuk dipulihkan, ditambah pula dengan Presiden parti yang juga Perdana Menteri Malaysia tidak mempamerkan ketegasan dan ‘political will’ yang boleh dibanggakan oleh umat Islam dan digeruni oleh DAP, MCA, MIC dan Gerakan khususnya.
Kelemahan Perdana Menteri telah dieksploitasi dan dimanfaatkan dengan begitu bersungguh sekali oleh DAP, MCA, MIC dan Gerakan termasuk juga oleh sebahagian pemimpin UMNO yang sama ada mempunyai agenda tersendiri ataupun sudah beralih alih angin dengan menjadi gunting dalam lipatan dan juga proksi parti-parti pembangkang.
Apapun untuk PAS: Tahaluf Siyasi sudah mati walaupun anda semua tunggang langgang untuk menafikan atau mempertahankannya.
Untuk UMNO pula: MCA, MIC dan Gerakan telah menunjukkan wajah sebenar mereka di sebalik topeng kepura-puraan yang dipakai selama ini.
Untuk DAP: Kamu sedang menghadapi zaman keruntuhan dan kejatuhan!
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Peguam dan aktivis ISMA
Peguam dan aktivis ISMA
Sumber : ISMA
No comments:
Post a Comment