BN Masjid Tanah

BN Masjid Tanah

Monday, 11 May 2015

Pertama Kali Najib Lantang Jawab Kritikan Tun Mahathir... Saya Tidak Akan Tunduk Tekanan Letak Jawatan...


Nampaknya apa yang diduga akan berlaku sudah berlaku.Ahad,sehari sebelum hari ulangtahun UMNO ke 69,Datuk Seri Najib Tun Razak pertama kali dengan lantang menjawab kritikan Tun Dr Mahathir terhadapnya.

Bagi kebanyakan pemerhati politik ini sudah kira masuk fasa 'perang terbuka' Perdana Menteri terhadap bekas Perdana Menteri setelah dilihat mengambil sikap berhemah terhadapnya kebelakangan ini sekalipun dikritik bertalu-talu.

Sekitar 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri di Padang Perbandaran Tawau,menjadi saksi detik penting yang mengejutkan ini.

Turut hadir pada program itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Sambil merujuk kepada isu IMDB yang menjadi kritikan utama Dr Mahathir terhadapnya,Najib menegaskan kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.

Beliau juga berkata kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini berbelit-belit, sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion.
Najib menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Beliau berkata selagi rakyat menyokong beliau untuk menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri dan anggota UMNO terus teguh menyokongnya sebagai presiden parti maka beliau tidak akan berganjak daripada jawatan yang disandangnya sekarang.

"Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap meneruskan perjuangan saya," katanya.

Penegasan Najib itu yang dinyatakan dengan suara lantang mendapat tepukan dan sorakan daripada hadirin yang membanjiri Padang Perbandaran Tawau sehingga melimpah ke kawasan jalan raya, disertai paluan gendang.

Beliau menegaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO diperolehinya secara proses demokrasi dan ditentukan oleh rakyat dan anggota UMNO dari seluruh negara iaitu dari Padang Besar di Perlis hingga ke Pulau Sebatik, di Tawau, Sabah.

Najib yang ingin mendengar sendiri suara sokongan hadirin dengan melaungkan "rakyat Sabah sokong" sebanyak tiga kali telah disambut dengan sorakan gemuruh hadirin, "Najib, Najib, Najib".

Menegaskan pendirian kukuhnya, Perdana Menteri sempat membacakan falsafah Bugis yang berbunyi 'Kendati tergantung awan di langit. Telah terlanjur ku bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan'.

Justeru, kata Najib takkan satu suara lebih besar daripada suara yang didengarnya daripada hadirin dan juga rakyat di Kota Belud ketika menghadiri program perasmian Projek Perumahan Rakyat di daerah berkenaan pagi tadi serta suara rakyat yang telah memberi mandat kepadanya untuk memerintah negara.

Katanya setiap pemimpin termasuk beliau pernah menempuh ujian dan tidak terkecuali Dr Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian ketika menerajui pucuk pimpinan negara selama 22 tahun.

"Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri'. Oh hebat dia jawab.

"1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita sokong pemimpin menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana Menteri," yang sekali lagi mendapat sorakan hadirin.

"Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri, kita sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri,sokonglah pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak apa, jangan rosakkan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad - 1MDB)," katanya. 

No comments:

Post a Comment